SKMM: Waspada sms penipuan guna 'gov'

SKMM, Sms penipuan guna, GOV, MySejahtera, Berita Malaysia

PUTRAJAYA—Orang ramai diminta berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ID penghantar 'GOV' menggunakan nama organisasi MySejahtera yang memaklumkan pengguna bahawa bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch 'n Go (TNG) eWallet mereka.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata terdapat penyalahgunaan ID penghantar 'GOV' apabila pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID penghantar tersebut untuk tujuan penipuan. 


"Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai," kata SKMM dalam kenyataan hari ini.


Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID penghantar 'GOV' dikhususkan bagi membuat pesanan khidmat awam (PKA) berkenaan inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.


SKMM berkata tindakan sekatan telah diambil ke atas akses pautan palsu tersebut.


SKMM berkata individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.