Salah guna kedudukan: Pasangan suami isteri ditahan SPRM


SHAH ALAM— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan pasangan suami isteri kerana dipercayai telah menyalahguna kedudukan bagi kerja-kerja berkaitan penilaian membabitkan sebuah majlis perbandaran di Selangor bagi tempoh antara 2019 dan 2020.


Menurut sumber, wanita terbabit yang berkhidmat sebagai pengarah di sebuah majlis perbandaran itu telah menggunakan kedudukannya dengan mempelawa syarikat yang mana suaminya mempunyai kepentingan untuk melakukan kerja-kerja penilaian berkenaan. 


Menurutnya, wanita terbabit dan suaminya yang berusia dalam lingkungan lewat 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar kira-kira jam 1 tengah hari tadi. 


Sumber berkata, suspek wanita itu dipercayai telah menggunakan jawatannya dengan mempelawa syarikat perunding swasta yang mana suaminya mempunyai kepentingan bagi melakukan kerja-kerja penilaian melibatkan nilai keseluruhan lebih RM445,000. 


Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.


Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok (Rabu).

Next Post Previous Post