Polis siasat Abdul Hadi berhubung kenyataan berbaur perkauman

Polis siasat Abdul Hadi, PDRM, Berita Malaysia

KUALA LUMPUR— Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.


Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A. Skandaguru berkata Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.


“Siasatan terhadap Abdul Hadi dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan setakat ini sebanyak 28 laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis.


“PDRM juga menyeru orang ramai untuk lebih prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.