Polis, Mosti dan Unit Hazmat siasat logam disyaki serpihan roket

Polis, Mosti, Unit Hazmat, Siasat logam, Serpihan roket, Sarawak Update
Serpihan logam yang dipercayai sebahagian daripada komponen roket milik China berdekatan sebuah rumah di Sepupok Niah baru-baru ini. Gambar media sosial

MIRI--Susulan penemuan serpihan logam yang disyaki sebahagian daripada komponen roket milik China berdekatan sebuah rumah di Sepupok Niah baru-baru ini, pihak polis telah meminta bantuan dari pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak Kementerian Sains ,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganalisa tempat kejadian.


"Hasil tinjauan awal pihak polis mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman kurang satu meter di kawasan sekitar rumah salah seorang penduduk di situ.


Bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengesahkan asal usul logam tersebut dan telah meminta bantuan pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak MOSTI untuk analisa lanjut," ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan media pagi ini.


Alexson berkata, pihaknya  telah menerima satu laporan polis dari seorang penduduk di Batu Niah berkaitan penemuan serpihan logam yang disyaki sebahagian daripada komponen roket milik negara China sepertimana yang dilaporkan dalam media massa sebelum ini.


Pihak Polis menasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran tempat kejadian kerana dibimbangi logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan.


Kawasan kejadian telah dipantau dengan rapi untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana ianya boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat serta disarankan untuk menghubungi balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan kepastian mengenai kejadian yang berlaku.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.