Polis cari pemandu langgar lari lelaki di Jalan Betong- Sarikei

Motosikal yang digunakan mangsa dalam kemalangan di Jalan KM 425 Jalan Betong-Sarikei-Maradong, di sini, awal pagi semalam

SARIKEI—Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan seorang buruh di Kilometer 425 Jalan Betong-Sarikei-Maradong, di sini, awal pagi semalam tampil membantu siasatan.


Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa Marin ak Seli,58, dari rumah Seraka, Kerapa, Ulu Paoh 3, Sarikei, yang menunggang motosikal meninggal dunia selepas menjadi mangsa langgar lari sebuah kenderaan yang belum dikenali pasti jenis dan nombor pendaftaran.


Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menghantar anak ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Sungai Paoh dalam perjalanan balik ke rumah di Jalan Selalang.


"Semasa di tempat kejadian mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang sebuah kenderaan menyebabkannya tidak sedarkan diri.


"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala  dibawa ke Hospital Sarikei oleh orang awam yang berada di tempat kejadian, namun disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu masih tidak dapat dikesan.


"Akibat kejadian itu motosikal yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan di bahagian belakang.


"Sehubungan itu, kita meminta saksi kejadian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sarikei atau balai Polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Mustaqim ditalian 011-70178478," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post