Penduduk gempar ular katam tebu, tedung bergaduh

Bomba menggunakan peralatan penjerut untuk meleraikan dua ekor ular yang berlawan. Gambar BBP Betong

BETONG—Orang awam di Simpang Skuyat Lama dikejutkan dengan kejadian dua ekor ular berbisa spesies ular katam tebu dan ular tedung yang ‘bergaduh’ di sebuah kawasan kolam dekat sini petang tadi.


Dalam kejadian sekitar 1 petang itu, ular katam tebu sepanjang 1.5 meter dan ular tedung sepanjang 2 meter dilihat sedang berlawan dengan membelit sesama sendiri.


Gambar BBP Betong


Bimbang kerana ular tersebut berbahaya, maka penduduk bertindak menghubungi bomba untuk meleraikan pergaduhan itu.


Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong tiba di lokasi bersama peralatan khas untuk meleraikan pergaduhan itu.


Gambar BBP Betong


"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat dua ekor ular berbisa sedang bergaduh dan bergelut antara satu sama lain dalam sebuah kolam," kata jurucakap BBP Betong.


Pasukan bomba kemudiannya bertindak meleraikan dan menangkap kedua-dua spesis ular berbisa itu dengan menggunakan penjerut lalu menyimpannya dalam kantung khas bagi tujuan keselamatan.


Operasi tamat pada 1.30 petang dan ular tersebut dilepaskan semula ke kawasan hutan yang jauh dari penempatan manusia.

Next Post Previous Post