Nak RM500 tapi rugi RM4,438

ACP Zulkipli Suhaili

SIBU-- Seorang jurujual lelaki mengalami kerugian RM4,438 selepas terpedaya dengan tawaran pulangan wang daripada Shopee berjumlah RM500 pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa warga tempatan pada 8 Ogos lalu yang diperdaya dalam kes menerima pulangan wang daripada Shopee.


"Mangsa ketika berada di rumahnya di Sungai Sadit, dikatakan telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali mengatakan akaun Shopee mangsa telah mendapat pulangan wang berjumlah RM500.


"Berminat dengan pulangan wang tersebut, mangsa kemudiannya telah menerima satu pautan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp dan mengisi butiran akaun simpanan dan butiran kad kredit milik isteri mangsa," katanya dalam kenyataan.


Jelasnya lagi, mangsa kemudiannya menerima OTP (One Time Passcode) dan menyerahkan nombor OTP yang diterima kepada pemanggil berkenaan.


Tambah Zulkipli, mangsa menyedari berlaku transaksi selepas isteri mangsa menyemak baki akaun dan mendapati wang berjumlah RM4,438 telah dipindahkan bagi tujuan bayaran Grabpay dan Shopeepay yang tidak dikenal pasti.


Berikutan kejadian itu, katanya mangsa terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar jangan sesekali menyerahkan OTP atau menekan mana-mana pautan yang dihantar melalui pesanan ringkas dan mengisi butiran perbankan ke dalam pautan tersebut.


"Ini memudahkan scammer dalam talian mendapat akses ke atas akaun bank individu dan transaksi akan berlaku sekaligus merugikan individu berkenaan," tegasnya.


Pada sama yang sama beliau memberitahu, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 / 03-26101599, atau memuat naik aplikasi semak mule http://semakmule.rmp.gov.my dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

Next Post Previous Post