Malaysia tebus semula emas, tewaskan India 3-1

Badminton, Malaysia tebus emas, tewaskan India 3-1, Sukan Komanwel, Komanwel Birmingham 2022
Gambar kredit BAM

BIRMINGHAM—Misi tercapai. Pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel kembali kepada Malaysia.


Pasukan badminton campuran negara berjaya menebus semula kekalahan 1-3 kepada India pada edisi Gold Coast 2018, selepas menumbangkan juara bertahan itu 3-1, pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini hari ini.


Bermain di National Exhibition Centre Hall Five yang hampir dipenuhi penonton, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kemenangan malam ini dengan mengatasi pasangan beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.


Kedua-dua pemain yang menunjukkan permainan cemerlang pada set pertama, saling bersaingan dari mata pertama sehingga kedudukan 18-18, sebelum Aaron Chia-Wooi Yik memenanginya 21-18.


Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik terus mengawal perlawanan dengan mendahului lima mata pada 16-11, dengan serangan kencang yang sering menyebabkan pasangan India itu kehilangan mata, sehingga memberikan mata pertama Malaysia, selepas menang set kedua 21-15.


Goh Jin Wei yang turun pada perlawanan kedua pula layak mendapat pujian, kerana walaupun ketinggalan 1-8 kepada bekas juara dunia Pusarla V. Sidhu, pemain profesional negara itu berjaya menyamakan kedudukan 18-18, sebelum tewas 22-20.


Pada set kedua, Jin Wei terus memberikan persaingan sengit kepada Pusarla, sebelum tewas 17-21 dan membolehkan India menyamakan kedudukan 1-1.


Pemain perseorangan utama kebangsaan Ng Tze Yong kemudiannya membolehkan Malaysia mendahului semula pada perlawanan ketiga, selepas beliau menang perlawanan sengit tiga set ketika berhadapan bekas pemain nombor satu dunia Kidambi Srikanth.


Tze Yong berjaya mengatasi Srikanth pada set pertama 21-19, sebelum seperti hilang punca dan tewas mudah 21-6 pada set kedua.


Bagaimanapun set ketiga menyaksikan Tze Yong kembali ke gelanggang dengan lebih baik dan berjaya memberikan mata kedua kepada Malaysia dengan mengatasi Srikanth 21-16.


Membawa semangat kemenangan Tze Yong itu, pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah memastikan emas keempat bagi acara itu menjadi milik negara selepas edisi Melbourne 2006, New Delhi 2010 dan Glasgow 2014, dengan mengalahkan pasangan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17.


Sebaik menang, Thinaah melompat kegembiraan, Pearly melutut pada ketika keseluruhan pasukan Malaysia menyerbu ke gelanggang bagi meraikan kemenangan buat negara.


Sementara itu, gangsa dimenangi Singapura yang mengalahkan pasukan tuan rumah 3-0, pada perlawanan hari ini.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.