Malaysia Airlines beli 20 pesawat A330neo

Malaysia Airlines, Beli 20 pesawat A330neo, Malaysia Aviation Group, Berita Malaysia
Malaysia Airlines beli 20 pesawat A330neo. Gambar kredit Airbus

KUALA LUMPUR—Syarikat induk Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Aviation Group (MAG) telah memilih A330neo daripada Airbus untuk program pembaharuan armada pesawat badan lebar syarikat penerbangan itu.


Pada majlis menandatangani memorandum persefahaman untuk pesanan rasmi, MAG menjelaskan perjanjian awal merangkumi pemerolehan 20 pesawat, yang mana, 10 akan dibeli daripada Airbus dan 10 lagi dipajak daripada Avolon yang berpangkalan di Dublin.


Ketua Pegawai Eksekutif MAG Izham Ismail berkata pembelian A330neo adalah peningkatan semula jadi daripada armada A330ceo semasanya. 


"A330neo bukan sahaja akan menyediakan pemodenan armada serta melonjakkan kecekapan operasi, ia juga akan memenuhi sasaran alam sekitar melalui pengurangan pembakaran bahan api bagi setiap tempat duduk, sambil memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang yang menjadi terasnya," katanya dalam satu kenyataan.


"Ini merupakan pencapaian penting ketika MAG bergerak ke arah pelaksanaan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 yang akan meletakkan diri kami sebagai kumpulan perkhidmatan penerbangan yang terkemuka di rantau ini," katanya. 


Model A330neo, yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000, akan menyertai armada enam pesawat jarak jauh A350-900s dan secara beransur-ansur menggantikan pesawat 21 buah A330ceo milik syarikat penerbangan itu. Perjanjian dengan pengeluar enjin Rolls-Royce dan Avolon turut dimeterai pada majlis tersebut.


Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan A330neo di rangkaiannya yang meliputi Asia, Pasifik dan Timur Tengah.


Menggabungkan enjin generasi terkini, reka bentuk sayap canggih serta pelbagai inovasi aerodinamik, pesawat berkenaan menawarkan pengurangan sehingga 25 peratus dalam penggunaan dan pelepasan bahan api termasuk mampu terbang 7,200 batu nautika atau 13,300 kilometer tanpa henti.


Malaysia Airlines akan mengubah suai armada A330neonya dengan susun atur premium yang akan menempatkan 300 penumpang dalam dua kelas. 


Selain pembaharuan dalam armada badan lebar, Airbus serta MAG turut menandatangani surat hasrat untuk mengkaji kerjasama yang lebih luas dalam bidang kelestarian, latihan, penyelenggaraan dan pengurusan ruang udara.


Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial dan Ketua Antarabangsa Airbus, Christian Scherer berkata Malaysia Airlines merupakan antara syarikat penerbangan Asia yang hebat dan Airbus berbangga menjadi pembekal pesawat badan lebar yang menjadi pilihannya. 


Beliau berkata ini adalah "pengiktirafan yang jelas" ke atas A330neo sebagai opsyen yang paling cekap dalam kategori saiz ini bagi pengoperasian premium.


"Ia juga merupakan pemenang mutlak daripada segi keselesaan dalam penerbangan dan kami berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk membentuk ruang kabin yang terunggul," katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.