Lelaki 55 tahun diugut ‘Lulu’, sebar video bogel
![]() |
Gambar hiasan kredit Unsplash |
TELUK INTAN— Seorang pengurus kilang kerugian lebih RM30,000 selepas menerima ugutan penyebaran video bogelnya melalui aplikasi WhatsApp oleh kenalan wanita di Taman Langkap di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata mangsa, 55 tahun telah berkenalan dengan suspek wanita yang menggunakan nama panggilan “Lulu” pada 10 Ogos lepas.
Menurutnya, suspek telah mengajak lelaki itu membuat panggilan video melalui WhatsApp dan menunjukkan tubuh bogel tanpa muka lalu mengajak mangsa melakukan perkara yang sama kira-kira pukul 1 pagi lima hari kemudian.
“Suspek telah mengugut mangsa untuk memasukkan bayaran dan sekiranya tidak ditunaikan suspek akan menyebarkan gambar dan video bogel mangsa menerusi WhatsApp, Facebook dan Instagram.
Mangsa kemudiannya telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian mencecah sebanyak RM33,516 kerana bimbang dengan ugutan bersiri itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Adnan, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Langkap kira-kira jam 6.54 petang semalam apabila menyedari dirinya tertipu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak melayan sebarang mesej yang diterima dari mana-mana orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan sindiket sebegini.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.