Lebuhraya bebas tol Pan Borneo siap tujuh bulan lagi?


KUCHING-- Impian rakyat Sarawak untuk menikmati lebuh raya yang lebih selesa dan bebas tol dijangka menjadi realiti pada suku pertama tahun hadapan.


Ini berikutan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada Mac 2015 sudah mencapai 85 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2023.


Perkara tersebut dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu, pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini merupakan hasil perancangan yang rapi dan holistik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP). 


"Pelaksanaan Projek Pan Borneo Sarawak ini merupakan usaha Kerajaan Persekutuan untuk mengulangi kejayaan projekprojek lebuh raya sebelum ini. 


"Seperti yang kita sedia maklum, transformasi pembangunan luar bandar dan lonjakan potensi pertumbuhan ekonomi dan sosial dapat dizahirkan melalui rangkaian infrastruktur jalan raya yang baik. 


"Projek Lebuh Raya Pan Borneo ini juga bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusatpusat komersial di sepanjang jajarannya," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Keluarga Malaysia peringkat Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching baru-baru ini.


Selain itu, Ismail berkata, kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.


Jelas beliau, Projek Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion dan pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan.


Menurutnya lagi kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.


“Ini akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu,” ujarnya.


Katanya, pembangunan Sarawak sentiasa diutamakan dan ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).


Tambahnya lagi bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMKe-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.


"Daripada 409 buah projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 buah projek kini siap sepenuhnya, 109 buah projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.


"Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion juga turut disediakan bagi menampung 361 buah projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif.


"Sebanyak 203 buah projek telah siap, 68 buah projek di peringkat pembinaan manakala bakinya dalam peringkat prabina,” jelasnya.


Bagi sektor kesihatan pula Ismail berkata, sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di Sarawak, melibatkan tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters.


"Sehingga kini Hospital Sri Aman telah pun siap, manakala lima buah projek lagi yang melibatkan kos sebanyak RM695.5 juta di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun depan.


"Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM13.4 bilion bagi pembangunan prasarana dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia Sarawak," ujarnya.


Pada masa yang sama, beliau memberitahu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak juga komited dalam menyediakan kemudahan jalur lebar (internet) kepada rakyat negeri ini melalui Program Jalinan Digital Negara (atau JENDELA).


Untuk tujuan ini, jelasnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.09 bilion di bawah RMKe-12 untuk memastikan capaian jalur lebar secara menyeluruh kepada Keluarga Malaysia di Sarawak menjelang 2030.


Malah, katanya, baru-baru ini satelit kelapan negara, MEASAT-3d dengan kos sekitar RM1.2 bilion telah dilancarkan bagi meningkatkan kelajuan capaian internet sedia ada, sekaligus merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

Next Post Previous Post