Notification

×

Iklan

Iklan

Lebih separuh calon cemerlang STPM golongan B40

| Ogos 18, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-18T12:55:02Z


KUALA LUMPUR—Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 mencatat pencapaian lebih baik dengan 874 calon mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 741 calon pada 2020.


Pengerusi Majlis Peperiksaan Negara (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata daripada jumlah itu, 584 calon  atau 66.82 peratus adalah daripada golongan B40. 


Mohd Ekhwan semasa mengumumkan Keputusan Peperiksaan STPM 2021 di sini hari ini.


Beliau berkata secara keseluruhan, PNGK Nasional STPM 2021 meningkat 0.01 mata kepada 2.79 berbanding 2.78 pada 2020. 


"Berdasarkan perbandingan PNGK keseluruhan antara calon bandar dan luar bandar sejak 2013, didapati ini merupakan kali pertama tiadanya perbezaan jurang pencapaian apabila kedua-duanya memperoleh PNGK 2.79 dalam STPM 2021," katanya semasa mengumumkan Keputusan Peperiksaan STPM 2021 di sini hari ini. 


Ketua Eksekutif MPM Adnan Husin berkata antara faktor yang menyumbang kepada perkara itu adalah penyusunan jadual peperiksaan selepas lengkap tempoh pembelajaran bersemuka selama 20 minggu dan pelajar mempunyai masa selepas tempoh itu bagi pembelajaran secara maya berbanding tahun sebelumnya.


"Pada tahun sebelumnya, 20 minggu ini termasuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dan maya, maksud di sini ada ruang yang panjang untuk pelajar bandar dan luar bandar mempelajari subjek yang mereka ambil," katanya.


Sementara itu, Mohd Ekhwan berkata bilangan calon yang mendapat 5A dan 4A dalam peperiksaan STPM 2021 turut mencatatkan peningkatan iaitu 36 calon memperoleh 5A berbanding 23 calon pada tahun sebelumnya, manakala 860 calon mendapat 4A berbanding 744 pada STPM 2020.


"Peratusan calon STPM 2021 yang lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga meningkat sebanyak 0.73 peratus iaitu kepada 73.70 peratus berbanding 72.97 peratus pada 2020.


"Secara keseluruhan, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2021 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas," katanya. 


Menurutnya seramai 42,369 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021, dengan 40,926 calon hadir mendudukinya pada ketiga-tiga semester STPM 2021.


Beliau turut mengumumkan senarai calon terbaik dalam peperiksaan STPM 2021 termasuk kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas dan Kategori Orang Asli yang bakal menerima plak serta sijil daripada MPM sebagai menghargai usaha mereka mencapai keputusan cemerlang.


Antara medium untuk calon menyemak keputusan masing-masing adalah menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPMNo. Kad Pengenalan Angka Giliran dan hantar ke 15888 bermula hari ini. 


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update