Notification

×

Iklan

Iklan

LCS: Kenyataan Anwar pertimbangan politik semata-mata, kata Hishammuddin

| Ogos 05, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-05T12:23:25Z
Hishammuddin semasa merasmikan Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen di sini hari ini.

KUCHING -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek kapal tempur persisir (LCS) dihentikan hanya berkisar kepada pertimbangan politik semata-mata.


Malah kata beliau kenyataan itu bercanggah dengan keputusan Pakatan Harapan ketika menjadi kerajaan pusat dulu yang mahukan projek itu diteruskan.



Daripada laporan yang beliau terima, Hishammuddin berkata kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak khasnya pihak Tentera Laut Diraja Malaysia yang merupakan pengguna akhir dan lebih 400 vendor yang terlibat dalam projek tersebut.


"Terdapat lebih 400 vendor yang harapkan projek ini berjalan dan 90 peratus adalah vendor yang ada kaitan dengan veteran.


"Kalau dia betul nak bela veteran pembatalan LCS bukan caranya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen di sini hari ini.


Semasa sidang media di hari terakhir persidangan Dewan Rakyat semalam, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan beliau yakin dalam isu tersebut ia bukan saja melibatkan ketirisan malah wujud penyelewengan.


Sekiranya projek itu dihentikan, Hishammuddin berkata perlu ada pilihan mahupun perancangan bagi mengisi kekosongan yang ada.


"Kalau betul ada hujah-hujah yang bernas saya tidak teragak-agak untuk memikirkan dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya," katanya.


Beliau turut menyatakan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya didapati berlakunya penyelewengan, salah guna kuasa ataupun ada unsur-unsur rasuah dalam projek itu.


"Siapa yang salah tetap salah kerana bukan masa saya ketika projek ini diluluskan. Kebetulan saya Menteri Pertahanan hari ini dan saya pikul tanggungjawab untuk menanganinya," katanya sambil menambah beliau percaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah, sedang dan akan mengambil tindakan berhubung perkara tersebut. 


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update