Kerajaan Sarawak cari jalan bantu pembeli rumah Taman Sentoria

Gambar arkib

KUCHING— Kerajaan Sarawak sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu pembeli rumah projek Borneo Samariang Resort City (BSRC) yang terjejas akibat masalah yang dihadapi projek berkenaan.


Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama pemaju projek Sentoria Borneo Land Sdn Bhd (SBLSB) dan juga bertemu wakil pembeli yang terjejas akibat projek tersebut.


Menurut kenyataan itu, kementerian itu juga telah membawakan isu berkaitan bantuan pinjaman kepada pembeli rumah terbabit termasuk kakitangan awam kepada Pembendaharaan Malaysia Sarawak (PMS), Borneo Housing Mortgage Finance Berhad (BHMFB) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).


“Sehingga kini LPPSA dan BHMFB telah memberikan pelepasan dari segi pembayaran pinjaman kepada pembeli rumah yang terjejas akibat kelewatan projek.


“Telah dimaklumkan pihak PMS bahawa mereka masih sedang mengkaji beberapa langkah bagi menangani isu berkaitan pinjaman itu,” menurut kenyataan itu hari ini.


Kenyataan kementerian itu memaklumkan bahawa pemaju projek tersebut juga telah menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan projek BSRC itu sehingga ia siap sepenuhnya.


Pada 5 Mei, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri bercadang untuk mengambil alih projek tersebut daripada pemaju, dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah dihadapi pembeli rumah.


Bagaimanapun Abang Johari berkata perkara itu hanya akan berlaku selepas pemaju dapat menyelesaikan kesemua isu berkaitan perundangan berkaitan projek berkenaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post