Kerajaan pastikan strategi terbaik tangani isu tuntutan waris Sulu

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar 

KUALA LUMPUR— Kerajaan menyatakan komitmen untuk memastikan strategi terbaik dilaksanakan bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia, termasuk penubuhan Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu Terhadap Kerajaan Malaysia.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan akan memastikan kemenangan demi kepentingan dan kedaulatan negara tetap terpelihara. 


“Kerajaan juga yakin bahawa semua tindakan dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu ini akan membuahkan hasil yang positif dengan sokongan semua pihak khususnya rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 


Beliau berkata pasukan khas itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada Rabu antara lain membincangkan berkaitan tindakan undang-undang yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia di Sepanyol dan Perancis bagi menangani tuntutan tersebut, selain isu pembayaran wang serahan berjumlah 5,300 dolar setahun.


Menurutnya Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris pada 28 Feb lepas tidak menyentuh isu pengambilan wilayah Sabah atau kedaulatan negeri itu oleh kumpulan Sulu. 


Wan Junaidi berkata pasukan khas turut mengambil maklum bahawa pelantikan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dan kesemua tindakan bersifat prosedur yang dibuat olehnya telah dibatalkan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021. 


“Berdasarkan keputusan bertarikh 29 Jun 2021 tersebut, Mahkamah Tinggi Madrid telah mengeluarkan keputusan bahawa ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020 oleh Dr Stampa adalah tidak sah dan terbatal.


“Kerajaan juga telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan Exequatur Order dan seterusnya permohonan bagi menggantung penguatkuasaannya. Permohonan kerajaan bagi menggantung penguatkuasaan Exequatur Order tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Perancis pada 16 Dis 2021,” katanya. 


Beliau berkata kerajaan seterusnya membuat permohonan membatalkan Final Award yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 28 Feb lepas itu dan permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award tersebut di Mahkamah Perancis. 


Katanya mahkamah itu telah membenarkan permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award tersebut pada 12 Julai lepas. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post