Kelvin Yii tidak sabar lihat Najib "berbaju jingga"


KUCHING—Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen melahirkan rasa tidak sabar untuk melihat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memakai baju jingga.


Beliau memuat naik status itu selepas Najib gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International Sdn Bhd bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.



"Saya tidak sabar untuk melihat beliau (Najib) dalam pakaian jingga dan pada akhirnya dimasukan ke penjara Sungai Buloh.


"Malu betul 'bossku' ini. Akan tambah bekalan 'Super Rings' untuk saya mendengar keputusan akhir kes Najib pada 26 Ogos ini,"


Hari ini, Bernama melaporkan bekas Perdana Menteri itu gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International Sdn Bhd bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.


Ini selepas panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu setelah mendengar hujahan peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.


Bukti tambahan yang ingin dikemukakan Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.


Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Mohd Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.


Panel hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Next Post Previous Post