-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Enam sekeluarga ditahan edar dadah

| Ogos 08, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-08T10:36:04Z
ACP Mohd Radzi Ahmad menunjukkan sebahagian dadah bernilai RM694,412 yang dirampas dalam serbuan. Gambar kredit Mamu Jarum

KEPALA BATAS— Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam sekeluarga termasuk sepasang suami isteri warga emas dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM694,412 dalam siri serbuan di Pulau Pinang, Khamis lepas.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Mohd Radzi Ahmad berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas, polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket itu selepas menahan sepasang kekasih berusia 32 dan 36 tahun di tepi jalan di kawasan Bayan Lepas, dekat sini, pada jam 2.30 petang.


"Ekoran penahanan pasangan kekasih yang juga ada hubungan kekeluargan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Taman Bagan, Butterworth pada  jam4.30 petang dan menahan empat ahli keluarga lelaki tersebut (suspek pertama) iaitu ibu bapa dan adik lelaki bersama isterinya.


"Empat suspek yang ditahan di rumah mereka itu berusia 32 hingga 66 tahun dan polis kemudiannya menyerbu sebuah syarikat kurier di Bayan Lepas pada jam 6.30 petang sebelum merampas 259 gram(g) syabu bernilai RM9,324 milik sindiket tersebut di situ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini, hari ini.


Katanya, polis seterusnya menyerbu semula rumah ahli keluarga itu pada  jam11.30 malam, hari yang sama, dan merampas 447 paket serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 13,462g bernilai RM673,100 serta syabu seberat 333g bernilai RM11,988, di situ.


Mohd Radzi berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu bukan sahaja mengedar dadah untuk pasaran tempatan malah ke luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier.


Katanya, modus operandi sindiket itu menyembunyikan dadah dalam acuan simen dan mengisytiharkan sebagai cetakan acuan simen dengan setiap kali penghantaran melalui kurier membabitkan syabu bernilai RM10,000 hingga RM20,000.


"Manakala untuk pasaran tempatan pula, sindiket yang didalangi oleh suspek pertama itu menjual dadah jenis MDMA yang dicampur dalam serbuk jus minuman sebelum ia dibungkus semula dan dijual untuk pasaran di pusat hiburan dengan harga antara RM150 hingga RM200 sebungkus mengikut beratnya," katanya.


Beliau berkata hasil siasatan mendapati kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara oleh sindiket itu bergiat aktif sejak Jun lepas dan mereka dipercayai mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil kegiatan tersebut.


Menurutnya pasangan kekasih dan dua warga emas itu tidak bekerja manakala sepasang lagi suami isteri merupakan peniaga kedai makan dan kesemua mereka kini direman selama lima hari sehingga esok ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,500 dan sebuah kereta yang bernilai RM23,000 daripada mereka. Ujian air kencing mendapati semua mereka negatif dadah namun tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya semua dadah itu boleh digunakan oleh 3,319 penagih.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Radzi polis menahan seorang pengedar di sebuah rumah di Mak Mandin pada jam 4.30 petang Khamis lepas dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM70,080.


Katanya, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan,  sepasukan polis JSJN SPU menahan seorang penganggur lelaki berusia 26 tahun serta merampas 142 bungkus serbuk MDMA seberat 1,386g di rumah suspek.


"Dalam serbuan itu, kami turut merampas 17 biji pil eramin 5, lima biji pil ekstasi dan 3g ketamin yang kesemuanya bernilai RM70,800 termasuk serbuk MDMA yang telah dicampurkan dalam bungkusan jus minuman serta uncang minuman 3 dalam 1," katanya semua dadah itu boleh digunakan oleh 200 penagih.


Menurutnya, berdasarkan siasatan, lelaki itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas secara sendirian dan suspek yang positif dadah dipercayai mendapatkan bekalan daripada sindiket sebelum menjualnya semula di pusat hiburan sekitar negeri ini.


Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM20,000 daripada lelaki itu dan dia kini direman selama lima hari sehingga esok ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update