'Batak Lampung' tarikan jelajah AKM Sarawak

Batak Lampung, AKM Sarawak, Masyarakat iban, Sarawak Update
Batak Lampung, salah satu sukan rakyat tradisi oleh kaum Iban. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak


KUCHING-- Pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di sini, berpeluang beradu tenaga dalam permainan tradisional masyarakat iban ‘Batak Lampung'.


Tarikan itu merupakan beberapa permainan yang ditawarkan di khemah Sukan Rakyat sempena Jelajah AKM peringkat Sarawak yang berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini dari 5 hingga 7 Ogos ini.


Pegawai Belia dan Sukan di Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak John Nasuil berkata ‘Batak Lampung' merupakan permainan yang dimainkan semasa perayaan Gawai Dayak apabila tetamu berkunjung ke rumah panjang.


Jelasnya permainan itu mempunyai konsep sama dengan permainan tarik tali dan ia menggunakan papan kayu sebagai pengantara serta sebatang kayu panjang lagi untuk dipegang.


“Kedua-dua peserta akan duduk dan menarik lawan mereka. Peserta yang berganjak dan terangkat dari kedudukan asal akan dikira kalah.


 
“Peserta yang berjaya mengekalkan kedudukan akan dikira sebagai pemenang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


John berkata ‘Batak Lampung' sememangnya menguji kekuatan kaki serta tangan pemain.


“Berat pemain juga perlu sama antara permain misalnya kita ada kategori lightweight, middleweight dan heavyweight selain kategori umur,” katanya.


Mengulas lanjut, John berkata untuk hari ini dan esok pengunjung boleh mencuba permainan tersebut manakala satu pertandingan akan diadakan pada Ahad.


Selain ‘Batak Lampung', pengunjung ke khemah Sukan Rakyat turut berpeluang mencuba permainan menyumpit, batu seremban, pangkak guli dan tingting.


Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.


Sepanjang tiga hari jelajah AKM Sarawak yang bermula hari ini, pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan.


-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.