Notification

×

Iklan

Iklan

Anggota JPJ didakwa terima rasuah RM27,600

| Ogos 17, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-17T04:38:17Z
Tertuduh menghadapi empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600. Gambar kredit Astro Awani


JOHOR BAHRU—Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600.



Ahmad Jamil Md Saru, 40, yang bertugas di JPJ cawangan Muar, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.


Dia didakwa menerima rasuah daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakhti Maju Enterprise P. P. Vijayan secara pindahan dalam talian melalui empat transaksi akaun Maybank syarikat itu, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Muar, Jalan Sulaiman, Muar antara 26 Jan 2016 dan 24 Mac 2019.


Ahmad Jamil didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah membenarkan Ahmad Jamil diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan.


Mahkamah menetapkan 20 Sept untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.


Pada 5 Julai lepas, media melaporkan Ahmad Jamil didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas 12 pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah RM8,500 daripada Sivan Sakhti Maju bagi tujuan melindungi syarikat itu daripada diambil tindakan undang-undang antara April 2020 hingga Mac 2021.


-- BERNAMA
×
Berita Terbaru Update