442 projek bernilai RM17.8 bilion dibangunkan di Delta Rajang


KUCHING-- Sejumlah 442 projek bernilai RM17.8 bilion telah dikenalpasti dan dirancang untuk dilaksanakan di semua kawasan di bawah bidang kuasa Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).


Pengerusinya, Datuk Len Talif Salleh berkata, kira-kira 60 peratus daripada peruntukan RM17.8 bilion melibatkan projek pembangunan infrastruktur sebanyak 159 projek dengan anggaran perbelanjaan RM7.839 bilion.


Sementara itu katanya, sebanyak 137 projek perkhidmatan sosial dianggarkan bernilai RM2.859 bilion dan 58 projek pembangunan ekonomi sebanyak RM2.13 bilion.


“Manakala bagi pertanian dan agro-makanan pula sebanyak 56 projek anggaran RM3.805 bilion perbelanjaan serta 32 projek utiliti dan telekomunikasi digital sebanyak RM1.179 bilion perbelanjaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Majlis Makan Malam Sempena Makmal Sindikasi Pelan Pembangunan RADDA di sini, malam tadi.


Dalam pada itu kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar terbabit, kesemua projek disenaraikan menerusi mesyuarat dan Makmal Pelan Pembangunan RADDA yang dijalankan sebelum ini.


“Disebabkan setiap agensi pembangunan diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta sahaja, makmal ini diadakan bagi memperincikan projek-projek yang perlu diberi keutaaman,” katanya.


Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rajang itu lagi, RADDA akan menyediakan kertas kerja untuk kelulusan Kabinet Sarawak pada Mesyuarat Kabinet September depan.


Sehubungan itu, beliau berharap agar pelaksanaan projek dapat dimulakan awal tahun depan.


“RADDA melibatkan 11 DUN dan lima kawasan parlimen dengan kawasan meliputi 11,330 kilometer persegi serta populasi penduduk kira-kira 300,000 orang.


“Lima kawasan parlimen terlibat adalah Mukah, Igan, Tanjung Manis, Sarikei dan Julau dan semua kawasan itu terhad kepada kawasan di bawah naungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sahaja.


“Selain itu, kita juga mencadangkan supaya pejabatnya ditempatkan di tingkat 11 di Pusat Pentadbiran Tanjung Manis,” katanya.

Next Post Previous Post