2 rakyat Sabah gagal hidup semula saman terhadap Hadi Awang

2 rakyat Sabah, Hadi Awang, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Berita Malaysia
Maklin dan Lawrence diperintah membayar Abdul Hadi RM10,000 sebagai kos untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

PUTRAJAYA—Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan dua rakyat Sabah untuk mengembalikan semula saman terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian.


Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata mahkamah bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa saman yang difailkan oleh Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian tidak kukuh sepenuhnya dan sepatutnya dibatalkan.


Beliau berkata dua perintah pengisytiharan yang dimohon oleh perayu supaya mahkamah membuat keputusan bahawa Abdul Hadi telah melakukan kesalahan menghasut.


Pengisytiharan sedemikian, kata beliau tidak akan memberi sebarang tujuan kepada perayu (Maklim dan Lawrence) kerana mereka mengakui bahawa mereka tidak meminta Peguam Negara (AG) untuk mendakwa Abdul Hadi atau meminta Perdana Menteri memecat Abdul Hadi daripada jawatan awamnya.


Hakim Vazeer Alam berkata Maklim dan Lawrence mendakwa Abdul Hadi melakukan hasutan terhadap masyarakat Kristian di negara ini dan Peguam Negara, yang merupakan pendakwa raya, enggan mendakwanya atas tuduhan menghasut, malah Perdana Menteri telah melantiknya sebagai utusan khas ke Timur Tengah berstatus menteri.


Hakim itu berkata tujuan (untuk mendapatkan perintah pengisytiharan) tidak jelas, sambil menambah bahawa hujahan peguam yang mewakili Abdul Hadi bahawa ia adalah untuk tujuan politik, nampaknya agak meyakinkan.


Beliau berkata jika kesalahan jenayah telah dilakukan oleh Abdul Hadi, ia adalah kuasa budi bicara mutlak pendakwa raya untuk memulakan prosiding jenayah dan mendakwanya.


“Mahkamah tidak boleh merampas kuasa perlembagaan pendakwa raya dan mengisytiharkan terlebih dahulu bahawa kesalahan jenayah telah dilakukan,” kata hakim itu yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Ghazali Cha.


Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa tiada sebab yang boleh difikirkan untuk meminta pengisytiharan itu dan saman itu adalah sia-sia.


Hakim Vazeer Alam, yang menyampaikan keputusan mahkamah melalui prosiding dalam talian, berkata ia juga sudah pasti terbuka kepada usaha untuk memfailkan saman serupa jika pengisytiharan sedemikian diberikan.


Mahkamah mengetepikan kos punitif RM50,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Maklin dan Lawrence, tetapi memerintahkan kedua-dua lelaki itu membayar Abdul Hadi RM10,000 sebagai kos untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.


Maklin dan Lawrence memfailkan saman terhadap Abdul Hadi pada Disember 2020, memohon pengisytiharan bahawa  beliau telah melakukan hasutan dan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaaan Malaysia.


Mereka mendakwa Abdul Hadi telah membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian dan mubaligh Kristian yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada 18 Jan 2016.


Pada 7 Mei tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan Abdul Hadi untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh Maklin dan Lawrence.


Peguam Marcus Lee dan How Li Nee mewakili Maklin dan Lawrence manakala peguam Yusfarizal Yussof dan Adam Luqman Amdan mewakili Abdul Hadi.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.