11 individu ditahan, sebuah motosikal disita dan 9 saman dikeluarkan di Marudi

Gambar kredit PDRM

MARUDI-- Sebelas individu ditahan, sebuah motosikal disita dan sembilan saman dikeluarkan dalam Op Pelbagai di empat lokasi di sini petang semalam.


Ketua Polis Daerah Marudi DSP Mohd Ruslan Mat Kib berkata, operasi yang bermula jam 3 petang hingga 6.30 petang itu dijalankan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah  BPJKKD dan Tugas Am Balai Polis Marudi di Jalan Stadium Marudi, Jalan Limbang, Jalan Kampung Pemindahan dan jalan perumahan Jalan Lubok Nibong.


"Dalam operasi tersebut telah berjaya menahan 11 individu serta sitaan melibatkan sebuah motosikal di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan  (APJ) 1987.


"Selain itu, sebanyak 9 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya ekzos bising (2), tiada cermin sisi (2), tidak tampal "P" (1), nombor pendaftaran fancy (1) dan juga didapati menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah (3)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, beliau memberi peringatan mesra kepada semua ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak di rumah supaya tidak terjebak dengan gejala  yang tidak sihat ini.


"Terutama dalam kegiatan lumba haram atau memandu dalam keadaan melulu atau melakukan apa-apa aksi yang menyebabkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.


"Jika ditahan terlibat didalam aktiviti tersebut penunggang atau pemandu tersebut boleh dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 di mana boleh dihukum dengan penjara serta didenda," tegasnya.


Pada masa yang sama beliau berkata ibu bapa juga diingatkan agar tidak membenarkan anak-anak di bawah umur untuk menunggang/memandu.


"Jika ditahan dan didapati bersalah, ibu bapa atau yang membenarkan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya di bawah seksyen 39(5)APJ 1987," ujarnya lagi.

Next Post Previous Post