Tentera, polis dikerah bantu KPDNHEP gempur penyelewengan minyak masak

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL). Gambar FB Ismail Sabri


KUALA LUMPUR— Kerajaan mengerahkan pihak penguat kuasa untuk menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan minyak masak paket bersubsidi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Katanya operasi akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bertujuan memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.


"Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.


Kerajaan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).


Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa Menteri Kabinet serta wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM); Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER); Institut Penyelidikan Khazanah (KRI); Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM); Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS); Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).


Ismail Sabri berkata perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 tan metrik sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.


Pada 22 Jun lepas, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak yang telah bermula sejak Jun 2007 bagi minyak masak paket berharga RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.00.


Katanya mesyuarat yang menyaksikan lima kertas kerja dibentangkan juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah itu yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.


Selain itu, katanya kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga lebih murah yang bakal melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.


Ismail Sabri berkata program yang akan diterajui bersama KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.


"Kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.


“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.