-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Rogol gadis OKU: Bapa tiri dipenjara 20 tahun, warga asing dipenjara 28 tahun

| Julai 15, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-15T08:11:16Z

JULAU—Bapa tiri dan seorang warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara 20 dan 28 tahun hari ini kerana merogol seorang gadis bawah umur yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) pada 4 Jun lalu.


Hakim Mahkamah Sesyen Sarikei, Stella Augustine Druce menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kedua-dua tertuduh pada 14 Julai.


Tertuduh pertama iaitu ayah tiri kepada mangsa dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan.


Dia yang dituduh di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan  tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan mangsa.


Mahkamah memerintahkan hukuman itu dijalankan dari tarikh pertuduhan.


Tertuduh kedua seorang warganegara asing dituduh dengan dua pertuduhan iaitu Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa yang kurang upaya dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak. 


Tertuduh telah mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan ke atasnya dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan enam sebatan untuk pertuduhan pertama dan penjara selama 13 tahun dan lima sebatan untuk pertuduhan kedua. 


Tertuduh juga telah dituduh di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1953/69 kerana tanpa sebab yang munasabah telah tinggal lebih masa di Malaysia, pada 20 Jun  2022 di Mahkamah yang sama dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 bulan dari tarikh pertuduhan. 


Semua hukuman terhadap tertuduh dijalankan secara berasingan. Secara keseluruhannya tertuduh harus menjalani hukuman penjara selama 28 tahun 8 bulan dan enam 11 sebatan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jayniesa Lavang Jarit.


Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam Sulin berkata, ibu mangsa dalam laporannya mendakwa bapa tiri mangsa dan seorang warga asing telah mencabul anak perempuannya berusia 14 tahun kira-kira jam 6.45 petang di sini pada 4 Jun lalu.


“Kedua-dua lelaki itu ditahan pada hari yang sama pengadu memfailkan laporannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Andam menambah,  polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku jenayah kekerasan terutamanya jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.


Beliau berharap masyarakat bersama-sama bertanggungjawab dalam menangani jenayah rogol dan keganasan seksual secara efektif.

×
Berita Terbaru Update