Notification

×

Iklan

Iklan

Penjana Kerjaya: CEO, pengarah syarikat ditahan

| Julai 18, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-18T12:23:17Z

KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua pegawai eksekutif (CEO)dan pengarah syarikat di ibu kota, semalam, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.


Menurut sumber, kedua-dua individu berkenaan merupakan seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 40-an ditahan pada 1.30 tengah hari itu.


“Mereka dipercayai mengemukakan invois Program Latihan Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butiran palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi memperolehi bayaran di bawah peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah kira-kira RM700,000 sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.


“Pengarah syarikat, lelaki direman sehingga Khamis ini selepas Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi manakala wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM  selepas keterangan diambil,” kata sumber itu.


Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Beliau berkata operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.


Pada 14 Julai lepas, SPRM telah menahan 37 individu di beberapa buah negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.


Setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi ‘Ops Hire’ adalah seramai 42 individu.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update