Penganggur menyamar sebagai polis didenda RM2,000
KUALA LUMPUR—Gara-gara menyamar dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada dua warga asing, seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shyakir Abdullah, 53, yang mengaku bersalah memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada Ramjan dan Mohammad Hossain, kedua-duanya warga Bangladesh di hadapan sebuah rumah di Jalan Union, Sentul, pada 5.30 petang, 13 Julai lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan bapa dua anak itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Muhammad Shyakir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja selain perlu menanggung dua anak dan isteri.
-- BERNAMA