Penduduk Long Busang hairan benteng hakisan 'terapung', adakah terbengkalai?


MIRI-- Penduduk Long Busang kehairanan melihat perkembangan projek benteng hakisan tebingan di kampung tersebut.

Projek kerajaan tersebut yang dikhabarkan menelan kos RM200,000 itu seolah-olah terbengkalai.


Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan mengadu masalah tersebut kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang pada minggu ini.

Ketua Cabang PKR Hulu Rajang Abun Sui Anyit berkata, projek ini adalah projek menghalang tebingan Kampung Long Busang daripada tanah runtuh. 


"Kos projek bagi mengawal hakisan tebingan ini dikhabarkan kepada penduduk Long Busang menelan belanja sebanyak RM200,000.

"Projek ini dikatakan tidak lagi dilaksanakan malah hasil kerja mereka setakat ini dipersoalkan kerana tidak langsung menghalang tebingan dari runtuh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Malah lebih teruk, dedah Abun, berdasarkan gambar yang dikirim oleh penduduk, ia seolah-olah 'tergantung'.

Selain itu, katanya, masih ada 'sangkar' batu yang belum diisi seolah-olah projek ini sedang terbengkalai.


"Daripada gambar-gambar yang ditunjukkan, timbul persoalan sama ada kontraktor yang dilantik oleh kerajaan mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja menghalang tebingan sungai daripada terhakis? 

"Adakah Jabatan Kerja Raya (JKR) meluluskan projek ini?," soalnya.


Pada masa yang sama beliau memberitahu keadaan tebingan yang runtuh ini menghantui fikiran penduduk terjejas. 

Justeru, tegasnya PKR Hulu Rajang menyeru pihak JKR memberi penjelasan berkaitan projek ini dan memberi jaminan bilakah projek ini akan siap.
Next Post Previous Post