Penduduk Labuan paling bahagia

MHI, Indeks Kebahagiaan Rakyat, Malaysia, Berita Malaysia
Wilayah Persekutuan Labuan. Gambar kredit Labuan Tourism

PUTRAJAYA -- Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) pada 2021 berada pada tahap Bahagia apabila mencatatkan skor 6.48, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.


Menurut Laporan MHI yang julung kali dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Labuan merekodkan skor 9.29 iaitu ‘Sangat Bahagia’, manakala 11 negeri beserta Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan skor pada tahap ‘Bahagia’, dan Melaka serta Selangor pula berada pada tahap Sederhana Bahagia.


"Secara keseluruhannya penduduk Malaysia berada pada tahap bahagia walaupun negara berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi, pada tahun pelaksanaan Survei MHI 2021," kata Mohd Uzir dalam sidang media selepas melancarkan Laporan MHI itu di sini hari ini.


Laporan MHI itu dilaksanakan dari September hingga November 2021 melibatkan 42,446 responden dari seluruh negara, dan dibangunkan berdasarkan manual antarabangsa antaranya, World Happiness Report (WHR) dan Human Development Index (HDI).


Kajian yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan penduduk Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual itu dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 - 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01 - 4.00 tidak bahagia; 4.01 - 6.00 sederhana bahagia; 6.01 - 8.00 bahagia dan 8.01 - 10.00 sangat bahagia.


Mohd Uzir berkata kajian MHI itu mengandungi 73 indikator yang dirangkumkan kepada 13 komponen iaitu keluarga; perumahan dan alam sekitar; penyertaan sosial; kesihatan; kemudahan komunikasi; pendidikan; persekitaran kerja; pendapatan; keselamatan awam; penggunaan masa; amalan kerohanian; kebudayaan dan pengalaman emosi.


Beliau berkata 13 komponen berada di tahap Bahagia dengan mencatatkan skor antara 6.04 hingga 7.23 seperti keluarga dengan skor 7.23, amalan kerohanian (7.21) dan kesihatan (6.75).


Katanya skor MHI mengikut strata bandar dan luar bandar di Malaysia berada pada tahap Bahagia iaitu masing-masing pada skor 6.46 dan 6.54.


Dari segi jantina, perempuan mencatatkan skor MHI lebih tinggi iaitu 6.49 berbanding lelaki dengan skor 6.46.


Mohd Uzir berkata berdasarkan laporan MHI itu, skor antara Warganegara dan Bukan Warganegara tidak jauh berbeza dengan masing-masing mencatat skor 6.49 dan 6.32.


“… maknanya mereka (bukan warganegara) juga dapat menjalani kehidupan seperti rakyat negara kita. Ini satu penemuan menarik yang boleh kita tunjukkan dengan negara-negara lain, bahawa dari segi Indeks Kebahagiaan antara warganegara dan bukan warganegara tiada elemen diskriminasi," katanya.


Beliau berkata di peringkat antarabangsa, Malaysia menduduki tangga ke 79 daripada 146 negara dengan skor 5.384 dalam laporan World Happiness Report 2021.


Mohd Uzir berkata MHI itu penting sebagai input dalam penilaian tahap kebahagiaan rakyat Malaysia di peringkat nasional dan negeri yang dapat digunakan dalam mencapai kemakmuran dan masyarakat yang inklusif.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.