Padah ambil tindakan sendiri, lelaki dicekup kerana pukul suspek curi kenderaan


KUCHING—Polis menahan seorang lelaki tempatan di sini, malam semalam kerana disyaki terlibat dalam video tular di media sosial, memukul suspek mencuri kenderaan. 


Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah (gambar sisipan) berkata, lelaki terbabit ditangkap sekitar jam 9.15 malam Jumaat oleh Pasukan Khas yang ditubuhkan oleh IPD Kuching iaitu gabungan Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Jenayah Komersil dan Balai Polis Padungan. 


"Dalam perkembangan siasatan kes video tular di media sosial berkaitan seorang lelaki dipukul semasa ditangkap oleh orang awam pada 22 Julai 2022 , jam 9.15 malam, sepasukan polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan , berumur 46 tahun yang disyaki terlibat dalam video tular telah memukul suspek mencuri kenderaan," katanya dalam kenyataan hari. 


Jelasnya, suspek tersebut telah direman selama empat hari sehingga 27 Julai 2022. 


Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. 


"Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat peguam negara bagi arahan selanjutnya," ujarnya. 


Sehubungan itu, Ahsmon mengingatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat spekulasi berkaitan kes ini yang masih disiasat oleh polis.

Next Post Previous Post