Ops Tapis: Enam ditahan kerana dadah, 76 diperiksa


SERIAN-- Enam individu ditahan menerusi Ops Tapis yang dijalankan di sini semalam, kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili.




Beliau memberitahu, dalam operasi ini, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serian telah menangkap tiga individu di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.



Tiga lagi individu pula katanya ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Serian di bawah Seksyen 3(1) ADB hasil daripada ujian saringan yang telah dilakukan terhadap 76 orang individu.



"Sementara itu, Unit Operasi JPJ Serian dan SPK Serian telah mengeluarkan sebanyak 48 notis atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi JPJ Sarawak hari ini.



Jelas Norizan operasi itu, diadakan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serian sebagai Agensi Penganjur bersama Unit Operasi JPJ Serian, Stesen Penguatkuasa Serian, Polis Trafik IPD Serian dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Serian bertempat di SPK Serian.


"Objektif Ops Tapis ini adalah bagi mengesan individu-individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah terutama dalam kalangan golongan belia, pemandu dan penumpang kenderaan perkhidmatan awam (KPA), kenderaan barangan (KB) serta kenderaan persendirian," katanya.



Tambahnya, operasi itu melibatkan seramai 42 orang pegawai dan anggota dari agensi yang terlibat. 



"Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian diketuai oleh ASP Mohd Qafie Taip, Unit Trafik pula diketuai oleh Sarjan Raymond manakala AADK Serian diketuai oleh Eva Lichok. 



"Manakala Unit Operasi JPJ Serian diketuai oleh Chang Keng Chai dan SPK Serian diketuai Ketua Stesennya Jaddyson Anndy Ameng," ujarnya.



Operasi itu ditamatkan pada jam 1 petang semalam dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna Jalan Raya bebas dari pengaruh Dadah semasa memandu.

Next Post Previous Post