Ops Aidiladha JPJ Sarawak: 9 diuji positif dadah


KUCHING-- Sebanyak 283 notis atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan sempena Operasi Khas Perayaan Hari Raya Aidiladha 2022 di sini yang bermula sejak 7 Julai lalu. 


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili berkata, operasi khas itu dikuatkuasakan dari tempoh 7 hingga 13 Julai ini. 


"Bagi tempoh 7 hingga semalam (8 Julai) kita telah memeriksa 1,279 kenderaan pelbagai jenis menerusi sekatan jalan raya yang diadakan di Batu 11 dan Batu 12 di sini. 


"Daripada jumlah itu, sebanyak 184 kenderaan diambil tindakan iaitu motosikal 61, kereta (77), lain-lain kenderaan persendirian (39), kenderaan barangan kurang 7500kg (22) dan kenderaan barangan lebih 7500kg (35)," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambahnya lagi, sebanyak 283 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu motosikal 81, kereta (88), lain-lain kenderaan persendirian (47), kenderaan barangan bawah 7500kg (30) dan kenderaan barangan atas 7500kg (37).


Dalam operasi itu juga Norizan berkata, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) telah melakukan 40 saringan ujian air kencing ke atas pengguna jalan raya. 


Kata beliau, daripada jumlah yang disaring itu sembilan individu didapati positif dadah. 


Selain itu, beliau memberitahu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga telah memeriksa 209 individu yang mana empat daripadanya tidak mempunyai kad pengenalan.

Next Post Previous Post