Mangsa kebakaran jadikan pokok sebagai rumah

Lelaki tinggal di bawah pokok berhampiran Rejang Park sejak dua tahun lalu.

SIBU— Tak sangka sanggup tidur di bawah pokok berhujan dan berpanas, namun itulah yang terjadi kepada seorang lelaki berusia lingkungan 50-an, yang menjadikan pokok berhampiran Rejang Park sebagai ‘rumah’.


Sumber memberitahu Borneo Network, lelaki yang berasal dari Dalat itu sudah dua tahun tinggal di bawah pokok itu. 



Lelaki tersebut sering dilihat lengkap berpakaian menggunakan hoodie, berpelitup muka sambil berjalan membawa plastik mengandungi barangan peribadi dan botol air.


“Kami difahamkan lelaki itu mempunyai rumah di Dalat namun telah musnah dalam kebakaran. 


Dia kemudian berpindah ke Sibu dengan harapan untuk mencari pekerjaan dan tempat tinggal,” kata sumber itu.



Namun selepas dua tahun, lelaki tersebut belum mendapat sebarang pekerjaan menyebabkan dia terpaksa meneruskan kehidupan dengan tinggal di bawah pokok.


Lelaki itu juga dipercayai mengalami masalah mental.


Difahamkan, orang awam sudah memaklumkan keadaan lelaki itu kepada jabatan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menyewa tempat tinggal.



“Bagaimanapun, lelaki tersebut menolak bantuan tersebut,” katanya.


Lebih membimbangkan orang awam dan penduduk di kawasan sekitar, lelaki itu terdedah dengan pelbagai bahaya seperti penjahat, haiwan liar dan kenderaan yang lalu lalang di kawasan tersebut.


Sehubungan itu, penduduk berhampiran berharap pihak berkuasa dapat bertindak bagi membantu lelaki berkenaan.

Next Post Previous Post