KPDNHEP Miri serbu kilang seleweng minyak masak bersubsidi



MIRI--Kegiatan sebuah kilang di Senadin menjalankan kegiatan penyelewengan minyak masak bersudsidi yang berselindung disebalik aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai terbongkar pada Isnin apabila pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri menyerbu premise tersebut.

Menurut ketua KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil, serbuan dilakukan jam 11.41 pagi itu menemukan minyak masak paket 1kg itu bernilai RM5,280.



Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya melakukan intipan selama tiga minggu.

Turut ditahan semasa serbuan, seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai penjaga kepada kegiatan tersebut.


"Aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi 1kg ini dilakukan dengan cara memotong paket polibag dan membungkus semula ke dalam paket plastik berlainan untuk dijual kepada pihak pengguna industri," ujar Joe.

Minyak masak 1kg seharusnya dijual dan dipasarkan untuk kegunaan isi rumah, dan bukannya untuk pihak pengguna industri, ujarnya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Next Post Previous Post