Kerja baik pulih bekalan elektrik giat dijalankan, SEB

Gambar kredit SEB

KUCHING– Sarawak Energy Berhad sedang giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di Miri yang terputus akibat angin kencang dan hujan lebat.


Naib Presiden Peruncitan Sarawak Energy Berhad (SEB) Yusri Safri berkata, angin kencang serta hujan lebat yang melanda sejak 9 hingga 12 Julai lalu menyebabkan kira-kira 13 kawasan di sini terputus bekalan elektrik.



“Antara kawasan yang terjejas ialah Bakam, Bekenu, Beraya, Kuala Baram, Luak Bay, Lutong, Niah, Permy, Piasau, Pujut, Riam, Sg. Rait dan Tukau.


SEB turut menerima beberapa laporan pada hari yang sama dan sebanyak enam pasukan teknikal dikerahkan ke lokasi serta-merta,”katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, angin kencang dan pokok tumbang menyebabkan tiang lampu tumbang, kabel termasuk lampu jalan mengalami kerosakan.



“SEB serta-merta melakukan kerja-kerja membaiki untuk memulihkan bekalan tenaga. 


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut membantu mengalihkan pokok-pokok tumbang di kawasan terjejas sebelum kerja membaik pulih dilaksanakan,” katanya.


Yusri menambah, janakuasa bergerak turut disediakan untuk kawasan yang boleh diakses sementara menunggu bekalan elektrik pulih.


“SEB peka dengan kesusahan pelanggan yang terputus bekalan elektrik akibat cuaca buruk dan kami sentiasa mengutamakan faktor keselamatan elektrik.


Pasukan teknikal bertungkus-lumus untuk memulihkan bekalan secepat mungkin namun kami mahu pastikan keselamatan pasukan,” katanya sambil menambah pasukan berdepan cabaran untuk menyiapkan kerja pemulihan berikutan cuaca buruk.

 

Beliau turut menasihatkan orang awam utamakan keselamatan dan berwaspada bahaya tiang elektrik tumbang dan talian kabel putus atau jatuh ke tanah.


Aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian 1300-88-3111 atau SEB Cares di telefon.

Next Post Previous Post