Isu parkir di Hospital Peringatan Rajah Charles Brooke selesai

Lo Khere Chiang (tiga kanan) bersama yang lain meninjau tapak parkir baharu di Hospital Peringatan Rajah Charles Brooke

PADAWAN— Masalah kekurangan tempat parkir yang dihadapi pelawat Hospital Peringatan Rajah Charles Brooke akhirnya selesai dengan pembinaan kawasan parkir baharu di kawasan berhampiran.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, kerja-kerja pembinaan tempat letak kereta itu bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu.



“Tempat letak kereta berturap ini dibina di kawasan lapang di seberang hospital. Apabila siap nanti, ia mampu menyediakan antara 30 hingga 50 tempat parkir,” katanya semasa penyerahan tapak itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) di Hospital Peringatan Rajah Charles Brooke hari ini.


Lo yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan menambah, masalah kekurangan tempat parkir sebelum ini menyebabkan pelawat terpaksa parkir di bahu jalan sehingga menimbulkan kesesakan lalu lintas. 


“Asalnya hospital ini dibuka pada 1925 untuk menyediakan rawatan penyakit kusta. Namun kini ia dijadikan hospital untuk kemudahan penduduk setempat.


Hospital ini menerima ratusan pelawat setiap hari. Saya dimaklumkan oleh doktor di sini kesesakan ini menyebabkan banyak berlaku kemalangan kecil,” katanya.


Lo menambah, apabila siap nanti, tempat parkir iini mempunyai arah keluar masuk untuk melancarkan aliran lalu lintas di kawasan itu.


Mengenai projek itu, Lo berkata ia akan dilaksanakan sepenuhnya oleh JKR dengan kos dianggarkan bernilai RM200,000.


“Saya berterima kasih kepada JKR kerana mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu membabitkan kepentingan rakyat,” katanya.

Next Post Previous Post