Notification

×

Iklan

Iklan

Industri setuju turunkan harga minyak masak berperingkat

| Julai 14, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-14T07:14:57Z
Gambar hiasan

PUTRAJAYA—Pihak industri minyak masak sawit secara prinsip bersetuju membuat ‘adjustment’ bagi menurunkan harga minyak masak secara berperingkat berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.


Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihak industri berkenaan telah bersetuju dengan syor Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai penurunan harga yang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.


"Yang penting secara prinsip pihak industri bersetuju untuk bekerjasama dengan jawatankuasa bagi penurunan harga minyak masak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi siri ketiga, di sini hari ini.


Annuar berkata ia merupakan perkembangan yang baik dan satu contoh bagaimana semua pihak dapat mewujudkan kerjasama bersepadu yang akhirnya rakyat dan pengguna akan mendapat hasil daripada persefahaman itu.


Menurutnya Pasukan Jihad Tangani Inflasi telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain utama industri minyak masak kelapa sawit merangkumi syarikat pengilang, pembekal dan pembungkus minyak masak pada Selasa (12 Julai).


Berhubung kegiatan penyeludupan minyak masak, Annuar berkata terdapat banyak maklumat diterima pihaknya mengenai perkara itu, dan beliau menegaskan bahawa pihak penguat kuasa tidak akan berkompromi dengan salah laku terbabit.


“Kita sedang buat pemantauan (terhadap) beberapa lagi rangkaian penyeludup. Jadi jangan pihak yang menjalankan aktiviti penyeludupan merasakan mereka (penguat kuasa) terlepas pandang, kita beri jaminan pihak penguat kuasa akan meneruskan tindakan mereka,” katanya yang turut menyeru orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai penyelewengan minyak masak.


Mengenai kos sara hidup di institusi pengajian tinggi (IPT), Annuar berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang merangka pelbagai rancangan bagi menangani isu kos sara hidup siswa di kampus, selain melaksanakan inisiatif harga sajian makanan yang rendah bagi mereka, serendah RM3.50 sepinggan.


Menurutnya hasil pertemuan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dengan semua pentadbir universiti, pelbagai langkah sedang dirangka untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar bukan sahaja dari sudut bekalan makanan harian, tetapi juga berkaitan kos penginapan, pengangkutan dan yuran.


“Ini juga satu lagi bukti yang menunjukkan apabila ada permuafakatan dan kerjasama, usaha untuk mengekang kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup sebenarnya sangat boleh dilakukan,” katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update