Empat maut, tiga parah kemalangan ketika lumba haram

Empat maut, Tiga parah, Kemalangan, Ketika lumba haram,
Gambar hiasan


GEORGE TOWN-- Empat maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan termasuk kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.

Tiga daripada mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dan Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25.

Beliau berkata mangsa yang cedera parah pula ialah Mohd Haziq Harris, 34, Muhammad Rahimi Shukor, 19, dan Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22.

"Pihak polis menerima laporan berhubung  kemalangan itu pada 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada kira-kira 4 pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar George Town melibatkan beberapa motosikal disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata siasatan juga mendapati kemalangan itu berlaku selepas beberapa penunggang motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

Beliau berkata dua buah kereta turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan itu.

"Setakat ini, tujuh mangsa telah dikenal pasti terlibat dalam kemalangan berkenaan. Empat orang disahkan maut iaitu tiga mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang meninggal dunia di HPP ketika menerima rawatan," katanya sambil menambah semua mangsa berasal dari Pulau Pinang dan Kedah.

Soffian juga berkata mangsa yang cedera masih menerima rawatan di HPP.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram kerana bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.