Anjing liar berkeliaran ancam keselamatan penduduk

Kereta mangsa terbalik selepas cuba mengelak melanggar anjing di Jalan Tunku Osman pagi tadi.

SIBU— Seorang pemandu e-hailing menghadapi detik cemas selepas kereta yang dipandu terbalik selepas cuba mengelak melanggar anjing di Jalan Tunku Osman,  tidak jauh dari sebuah sekolah menengah hari ini.


Dalam kejadian  sekitar 8.55 pagi tadi, mujurlah lelaki tersebut hanya mengalami luka di bahagian lengan dan tangan.


Mangsa (duduk) mengalami luka di bahagian lengan selepas kereta dipandunya terbalik ketika mengelak anjing liar.


Borneo Network diberitahu, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang daripada menghantar isterinya ke tempat kerja awal.


“Apabila tiba di lokasi, beberapa ekor anjing melintas jalan.



Pemandu tidak sampai hati melanggar haiwan tersebut dan cuba mengelak melanggar haiwan itu,” katanya.


Sementara itu penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan itu bimbang dengan kehadiran banyak anjing liar yang berkeliaran di tepi jalan.


Saksi di tempat kejadian memberitahu Borneo Network kemalangan ini bukanlah yang pertama seumpamanya berlaku di kawasan itu.


Ramai penunggang motosikal mengalami kecederaan akibat perlanggaran dengan anjing liar di situ.


“Kami berharap pihak berkuasa terutama Majlis Perbandaran Sibu mengambil tindakan segera menangani masalah ini kerana bimbang wabak rabies selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya.


Mereka berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan serius terhadap populasi anjing liar, lebih-lebih lagi Sibu zon penyakit rabies,” katanya.

Next Post Previous Post