Abang Johari agih daging korban kepada rakyat

Abang Johari mengagihkan daging korban kepada asnaf yang hadir pada Majlis Korban Perdana. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING— Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini meluangkan masa menyempurnakan Majlis Korban Perdana  anjuran Majlis Islam Sarawak.


Beliau turut menyampaikan daging korban kepada seramai 100 asnaf dari Gabungan Saudara Kita di sekitar Kuching.


Abang Johari menunaikan solat bersama ratusan jemaah di Masjid Jamek Petra Jaya Kuching. Gambar kredit Sarawakku


Terdahulu awal pagi tadi, beliau menunaikan solat bersama ratusan jemaah di Masjid Jamek Petra Jaya Kuching, yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.


Beliau turut serta bertakbir Hari Raya bersama jemaah yang hadir.  Selesai solat sunat Aidiladha, beliau turut mendengar khutbah yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Yassin. 


Terdahulu Bernama melaporkan, ildiladha dan ibadah korban di negeri ini disambut meriah selepas dua tahun ibadah itu dihadkan berikutan penularan COVID-19, berakhir tahun ini.


Walaupun tiada lagi prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti penjarakan fizikal dan had jumlah jemaah, orang ramai yang hadir di surau dan masjid masih memakai pelitup muka sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.


Suasana masjid dan surau dibanjiri kehadiran jemaah yang tidak mahu melepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidiladha serta menyertai ibadah korban, susulan Majlis Agama Islam Sarawak yang membenarkan ibadah itu dilaksanakan di masjid dan surau di negeri itu.


Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong akan menghadiri majlis serupa di Masjid Al-Kawthar Gedong petang ini.

Next Post Previous Post