Abang Jo pelawa Singapura hasilkan produk nilai tambah guna RE

Abang Johari berucap merasmikan Kongres Kejuruteraan ASEAN-Australia (AAEC2022) diadakan di Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di sini hari ini. Gambar Jabatan Penerangan Sarawak 

KUCHING—Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengalu-alukan pelabur dari Singapura yang berminat untuk menghasilkan produk nilai tambah daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) terdapat di negeri itu.


Beliau berkata pada masa ini, Sarawak mempunyai tiga sumber tenaga utama yang boleh diperoleh daripada air, petroleum dan gas.


“Jika anda (Singapura) mahu mempunyai pusat data, anda boleh datang ke Sarawak, saya beri ruang kepada anda...kami mendapat tenaga, sumber kami dari segi tenaga hidro di Bakun, kawasan itu mempunyai banyak air dan boleh menjadi sumber tenaga lain seperti solar terapung (tenaga suria),”  katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kongres Kejuruteraan ASEAN-Australia (AAEC2022) diadakan di Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Hui Kian; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.


Abang Johari berkata melalui AAEC, beliau berharap jurutera dari semua sektor industri bersama-sama membincangkan penyelidikan serta penyelesaian bagi mencapai Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan pemacu transformasi digital sambil mengoptimumkan keselamatan dan kemampanan.


“Kita perlu memastikan jurutera-jurutera bersedia untuk masa depan digital, pada masa sama cabaran semakin meningkat untuk membina komuniti mampan bagi mengatasi kesan perubahan iklim, berdaya tahan terhadap iklim geopolitik dan ekonomi tidak menentu serta mempunyai penggunaan bertanggungjawab dan pengeluaran yang konsisten,” katanya.


Beliau berkata di Sarawak, terdapat keperluan mendesak bagi meningkatkan produktiviti untuk kekal berdaya saing dan pada masa sama mewujudkan persekitaran bersih, sihat dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post