100 botol heroin dalam genggaman semasa ditahan polis


Muhamad Zaki menunjukkan botol-botol berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin. Gambar kredit Polis Kontijen Kelantan

KOTA BHARU—Polis menahan seorang lelaki bersama sejumlah 100 botol dadah disyaki jenis heroin bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek yang berumur 23 tahun dikesan dalam Ops Tapis Sempadan selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.36 pagi di dalam kedai berkenaan.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini beliau berkata apabila diperiksa, polis menemukan satu beg plastik hitam pada tangan kiri suspek mengandungi 100 botol lutsinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin, yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000.

Sementara itu menurutnya Khamis lepas polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 2,000 biji pil Yaba di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah pada 5.06 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas.

Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai buruh turut positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Muhamad Zaki berkata Ops Tapis Sempadan yang dijalankan dari 21 hingga 23 Julai lepas di daerah-daerah bersempadan dengan Thailand, telah membawa kepada penahanan 34 orang atas pelbagai kesalahan, di samping merampas dadah bernilai RM230,165.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post