Tindakan pantas jiran selamatkan rumah warga emas dan cucunya daripada hangus
Sendi Jawa, 60, pemilik rumah tersebut telah bergegas datang dari tempat kerjanya sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian. Gambar Bomba |
MIRI—Kepulan asap yang keluar dari sebuah kediaman dua tingkat di Pujut 8 C pada petang tadi mengejutkan kejiranan berhampiran.
Panik dan bimbang, mereka telah segera memaklumkan pihak Bomba bagi mendapatkan bantuan.
Menurut Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee, sejurus sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba Lopeng telah dikerahkan ke lokasi.
Anggota bomba bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran. Gambar Bomba |
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut kerana pemilik rumah telah keluar bekerja.
Difahamkan, rumah dua tingkat itu didiami seorang wanita berusia 60 tahun bersama seorang cucu dan anaknya.
"Mangsa telah bergegas datang ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan oleh jirannya mengenai kebakaran tersebut," ujar Ahmad Nizam.
Operasi memadam tamat pada jam 5 petang.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.