Tiga syarikat usaha sama menang tender Pakej KUTS, bakal perkasa sistem pengangkutan di Kuching


KUCHING-- Tiga syarikat usaha sama berjaya memenangi tender bagi Pakej Sistem 1 Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS). 


Pengerusi Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dalam ucapan tahniahnya kepada tiga syarikat menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, tiga syarikat itu adalah EPR (Kuching) Sdn Bhd, Global Rail Sdn Bhd dan Mobilusn Sdn Bhd. 


Pakej Sistem 1 bagi Projek KUTS melibatkan bekalan stok rolling iaitu kenderaan Transit Aliran Automasi (ART) dikuasakan hidrogen, peralatan depot dan penyelenggaraan kenderaan (DEMV), sistem kawalan dan isyarat (S&CS) dan pagar platform automatik (APG). 


"Kejayaan proses bidaan tender ini menandakan satu lagi kejayaan penting dalam pembangunan projek ini," katanya. 


Sehubungan itu, Abdul Aziz berharap syarikat yang memenangi bidaan projek berkenaan sekaligus menjadi rakan Sarawak Metro yang bertanggungjawab dan dipercayai dalam melaksanakan projek KUTS. 


Tegas beliau, pembangunan Projek KUTS akan mentransformasikan bukan sahaja memodenkan pengangkutan awam tetapi juga memperbaiki mobiliti sosial dan sosio-ekonomi rakyat terutama di Kuching. 


Pada masa yang sama beliau menekankan pembangunan Projek KUTS adalah selari dengan inisiatif kerajaan Sarawak untuk maju agenda ekonomi hidrogen bagi menangani isu perubahan iklim global. 


"Projek ini usaha penting Sarawak ke arah menyahkarbonkan pengangkutan awam di negeri ini," tambahnya. 


Sarawak Metro merupakan anak syarikat milik sepenuhnya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan diberi kepercayaan untuk melaksanakan Projek KUTS. 


Khidmat penumpang bagi ART dijadualkan diperkenalkan secara berperingkat, bermula daripada suku keempat tahun 2025 dan  dengan siap sepenuhnya fasa pertama, projek dijadual siap pada 2027. 

Next Post Previous Post