Tiga perancangan untuk perkasakan PBB

Ahli MKT PBB (dari kiri) Mohammad Razi Sitam, Dr Hazland Abang Hipni dan Abdullah Saidol.

KUCHING— Diberi kepercayaan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baharu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Hazland Abang Hipni memfokuskan tiga perancangan utama dalam memperkasakan parti itu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu berkata, antara visi tersebut adalah melibatkan pembangunan sosial, ekonomi dan politik.


"Kita mempunyai banyak cabaran dari segi sosial seperti peningkatan tahap pendidikan, dan PBB akan cuba menguruskan cara pendidikan yang lebih mudah untuk anak-anak Sarawak.


"Ia sebagai inisiatif bagi meningkatkan taraf pendidikan seterusnya membanteras gejala-gejala sosial yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik media Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.


Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian itu, sebagai parti yang kukuh di Sarawak, beliau akan meneruskan perjuangan parti untuk memastikan PBB menjadi tonggak dalam perjuangan di Sarawak.


Sementara dari segi ekonomi katanya, banyak perkara perlu dilakukan terutama dalam memperjuangkan peningkatan taraf pendapatan rakyat di bandar dan luar bandar.


"Disebabkan itu kita mempunyai beberapa strategi termasuk Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.


"Dan Sarawak kini sudah berada di mata dunia, terutama dalam bidang-bidang baharu dan secara kebetulan saya dalam Kementerian Tenaga. 


"Banyak perkara perlu kita capai untuk melazirkan modal insan berkualiti dan berpendidikan tinggi dan juga lebih fokus kepada bidang kemahiran," katanya. 


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua delegasi parti yang telah memberi sokongan kepadanya dengan memperoleh kemenangan begaya iaitu sebanyak 867 undi dalam pemilihan ahli MT PBB.


"Ini merupakan satu semangat baharu untuk saya lebih bersemangat menuruskan segala perkhidmatan dan perjuangan dari semua kawasan di seluruh Sarawak menerusi PBB," katanya.


Terdahulu, pengunguman rasmi 16 ahli MKT Sayap Bumiputera diumumkan oleh Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung Parti PBB, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada Perhimpunan Agung PBB Ke-15 pagi tadi.


Perhimpunan tersebut dihadiri Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Presiden, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan ahli majli tertinggi lain.


Mendahului senarai pemenang ahli MT PBB, Dr Hazland Abang Hipni memperoleh undi sebanyak 867 diikuti, Mohammad Razi Sitam (860), Abdullah Saidol (836), Aidel Lariwoo (830), Fazzrudin Abdul Rahman (824), Shafiee Ahmad (824), Razaili Gapor (806), Awla Dris (798), IR Yusuf Abdul Wahab (789), Dato Dr Juanda Jaya (784), Mohamad Duri (779), Awgku Jinal Abedin Dato Pangeran Jawa (766), Dato Haidar Khan Asghar Khan (755), Mohammed Kamaluddin Mohamad Effendie (687), Mohamad Sardon Zainal (615), Syed Hamzah Datuk Wan Hamid Edruce (529).

Next Post Previous Post