Terima Rasuah: Tujuh pegawai penguatkuasa dan dua individu ditahan reman SPRM
Empat pegawai penguatkuasa termasuk seorang pegawai kanan direman selama enam hari oleh Mahkamah Sesyen / Majistret Sarikei bermula hari ini. |
SARIKEI—Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seramai tujuh pegawai penguatkuasa dan dua individu termasuk seorang lelaki warga asing antara lima hingga tujuh hari kerana dipercayai menerima rasuah berjumlah lebih RM500,000 bagi tempoh antara 2019 hingga 2021.
Menurut sumber, daripada jumlah itu, seramai enam pegawai penguatkuasa termasuk beberapa pegawai kanan dan seorang warga asing ditahan di Sarawak manakala seorang pegawai penguatkuasa dan seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat ditahan di SPRM Selangor malam semalam.
Menurut sumber, lokasi tangkapan pertama menyaksikan seorang pegawai kanan berusia 50-an ditahan bersama seorang individu warga asing berusia 30-an kerana dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM300,000 daripada beberapa individu yang mengaji pekerja asing sebagai balasan untuk memudahkan permohonan berkaitan pas pekerja yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam permohonan reman yang dijalankan secara dalam talian, majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap seorang pegawai kanan penguatkuasa dan lima hari terhadap seorang lelaki warga asing bermula hari ini.
Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Frouline Anak Aging membenarkan permohonan reman selama enam hari sehingga 20 Jun 2022 terhadap empat pegawai penguatkuasa termasuk seorang pegawai kanan di Mahkamah Sesyen / Majistret Sarikei bermula hari ini.
Sumber memberitahu, pegawai kanan itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada individu-individu yang menggaji pekerja asing secara tidak sah sebagai balasan memudahkan permohonan berkaitan pas pekerja asing dan tidak mengambil tindakan di bawah kesalahan Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam pada itu Majistret Mohamad Redza Azahar Rezali membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap dua individu termasuk seorang pegawai penguatkuasa di mahkamah Majistret Shah Alam kerana dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 daripada individu-individu yang menggaji pekerja asing secara tidak sah sebagai balasan memudahkan permohonan berkaitan pas pekerja asing.
Manakala wanita itu pula dipercayai bersubahat bersama pegawai penguatkuasa tersebut untuk melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
Sementara itu, seorang lagi pegawai penguatkuasa yang ditahan di pejabat SPRM Sarawak direman selama tujuh hari oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menerusi permohonan reman secara dalam talian.
Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman kesemua suspek berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.