Notification

×

Iklan

Iklan

SKMM lulus penggabungan antara Celcom, Digi

| Jun 29, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-29T04:31:21Z

KUALA LUMPUR-- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd, melibatkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom (pemohon).


Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa ini, dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.


“Oleh yang demikian, SKMM telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini,” katanya.


Pada 1 April, 2022, SKMM telah mengeluarkan pernyataan isu kepada pemohon, selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei, 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara bagi sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti SKMM.


Justeru, menurut SKMM, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh SKMM dalam pernyataan isu.


SKMM telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini, katanya.


Pada 8 April, 2021, Axiata dan Telenor Group mengumumkan sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.


Axiata Group Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.


Salinan aku janji itu boleh dimuat turun melalui laman sesawang SKMM, https://mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Undertaki ng-Public-Version.pdf


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update