Projek lebuh raya baharu akan dibiayai sendiri pihak konsesi - Fadillah

Fadillah semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Bagi Tahun 2021 dan 2022 malam tadi. Gambar kredit FB Fadillah Yusof


PETALING JAYA—Semua projek lebuh raya baharu, termasuk tiga yang bakal dibina di Lembah Klang bagi mengatasi kesesakan lalu lintas, tidak akan mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kos projek terbabit dan sebarang risiko akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat konsesi.


Fadillah berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri serta Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia malam tadi. Gambar kredit FB Fadillah Yusof


“Untuk semua lebuh raya baharu, tiada lagi bantuan kewangan daripada kerajaan malahan tanah pun tiada bantuan. Dulu kalau kita buat lebuh raya, pengambilan tanah ditanggung oleh kerajaan sebahagiannya.


“Sekarang ini tiada lagi pinjaman mudah, semuanya akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat konsesi yang berminat buat lebuh raya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri serta Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Bagi Tahun 2021 dan 2022 di sini hari ini.



Sebelum ini, media melaporkan projek Lebuhraya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD LINK), Lebuhraya Putrajaya-Bangi (PBE) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL-NODE) mendapat kelulusan berprinsip daripada kerajaan.


Pada 4 April lepas, Fadillah berkata kerajaan mengalu-alukan pihak swasta mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya lain bagi penstrukturan semula dalam usaha mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan kerajaan.



Pada hari yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat konsesi termasuk Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).


-- BERNAMA

Next Post Previous Post