Polis tahan suspek pecah skrin ATM

Polis berjaya menahan suspek berhubung kes pecah skrin ATM sebuah bank di Siburan. Gambar kredit PDRM



PADAWAN— Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki memecah skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Siburan, dekat sini hari ini.


Suspek berusia 37 tahun itu ditahan jam 9 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padawan di perkarangan Balai Polis Kota Sentosa, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuching.


Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada polis bantuan bank berkenaan yang memaklumkan pintu bank terbuka sekitar jam 12.12 tengah malam pada 26 Jun.


“Pengadu menerima panggilan telefon dari pegawai keselamatan bank memaklumkan pintu ABL (pintu Masuk) belum tertutup sepenuhnya dan menyebakan penggera bank berbunyi. Dalam masa yang sama sekitar jam 12.18 tengah malam, pengadu terima panggilan telefon dari orang awam memberitahu penggera bank berbunyi dan didapati ‘roller shutter’ bank telah tertutup namun pintu masih terbuka. 


Orang awam tersebut telah menutup pintu dan ternampak skrin salah satu mesin ATM dalam bank telah retak di bahagian skrin,” katanya.


Beliau menambah, kejadian dipercayai berlaku sebelum pintu bank tertutup secara automatik pada setiap hari iaitu jam 12.05 tengah malam.


Kerugian dianggarkan sebanyak RM800.


Beliau menambah, pemeriksaan oleh polis secara menyeluruh di lokasi mendapati tiada sebarang kehilangan dan tiada menemukan objek yang digunakan suspek untuk memecahkan skrin mesin itu. 


Beliau menambah, lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi tiada saksi mata yang melihat kejadian yang berlaku. 


Katanya, pasukan BSJD Padawan sedang dalam usaha mendapatkan maklumat berkenaan suspek memandangkan CCTV premis itu hanya dapat disemak hari ini.


Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Next Post Previous Post