PGA jumpa senapang angin dalam semak

Selaras senapang angin yang ditemukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di dalam semak berdekatan batu sempadan A57 di Telok Melano.

SEMATAN-- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menemukan selaras senapang angin dalam semak berdekatan batu sempadan A57 di Telok Melano di sini semalam.


Komander Briged Sarawak PGA SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata, senapang angin itu dijumpai dalam keadaan dibaringkan atas tanah di dalam kawasan semak samun sekitar jam 9 pagi semasa sepasukan polis dari Batalion 11 PGA menjalankan rondaan tinjauan kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia di sekitar kawasan tanggungjawab Telok Melano.


"Setelah kira-kira sejam pasukan rondaan menunggu dan menjalankan pemeriksaan di kawasan sekeliling, mendapati tiada kehadiran atau pergerakan orang di sekitar lokasi tersebut.


"Anggaran nilai rampasan berjumlah RM800," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya, rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan lanjut.


Selain itu, Che Ghazali berkata, dalam Op Batas Briged Sarawak PGA yang bermula 30 Mei hingga 5 Jun 2022, tiga kes pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) direkodkan.


Jelasnya, tiga kes pengusiran PATI di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia melibatkan seramai 21 orang iaitu 17 lelaki dan empat perempuan termasuk seorang kanak-kanak berusia antara 10 hingga 63 tahun.


"Secara keseluruhannya, sepanjang pengoperasian yang dilaksanakan sejak awal tahun hingga 5 Jun 2022, Briged Sarawak PGA telah mencatatkan kejayaan di dalam Op Bersepadu Khazanah bernilai RM1.4 juta dengan merekodkan sebanyak 6 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 9 orang warganegara tempatan. 


"Manakala, Op Batas telah mencatatkan kejayaan bernilai RM1.1 juta dengan merekodkan sebanyak 104 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 370 orang (24 warganegara tempatan dan 346 PATI termasuk 301 PATI yang diusir balik ke negara asal," ujarnya.

Next Post Previous Post