Pengurus bank pun kena tipu transaksi perbankan Internet: Chong

Chong Chieng Jen

KUCHING-- Pengurus bank juga menjadi mangsa penipuan transaksi perbankan Internet hingga menyebabkan kerugian RM17,325, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen.


Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mempersoalkan tahap keselamatan perbankan dalam era Internet ini.


"Jika seorang pengurus bank boleh menjadi mangsa penipuan transaksi perbankan Internet siapa lagi yang selamat dalam era ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin berkata, seorang pengurus bank datang berjumpa dengannya semalam untuk meminta pertolongan bagi menyuarakan isu penipuan perbankan Internet ini.


"Kali ini pengurus bank sendiri menjadi mangsa dan ia melibatkan penggunaan kad kredit tanpa kebenaran miliknya bagi transaksi Internet di Shopee


"Pengurus bank tersebut juga memegang satu kad kredit yang dikeluarkan oleh sebuah bank dan sekitar bulan Januari 2022, beliau menerima pesanan ringkas bahawa kad kreditnya telah digunakan untuk tiga pembelian dalam Internet di Shopee berjumlah RM17,325 dan mangsa tidak melakukan transaksi tersebut.


"Mangsa membuat panggilan terus kepada bank berkenaan untuk menghentikan transaksi tersebut sebelum tampil membuat laporan polis berhubung kes berkenaan," kata ADUN Padungan itu.


Bagaimanapun kata Chong, meskipun pengurus bank tersebut telah membuat laporan polis dan menghubungi pihak bank serta mengisi borang pertikaian secara fizikal bagi memenuhi syarat prosedur standard bank akan tetapi pihak bank enggan membatalkan urus niaga dan terus mengenakan faedah ke atas pembelian tanpa kebenaran dibenarkan dan tidak sah itu.


Tambahnya, lima bulan selepas transaksi yang dipertikaikan itu, bank masih enggan membatalkan transaksi tersebut.


Justeru, tegasnya, ramai pelanggan bank dan pemilik kad kredit berdepan dengan penipuan transaksi Internet tanpa kebenaran ini.


Jelas Chong, arahan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dua hari lalu yang mengarahkan pihak bank membayar pampasan kepada pelanggan mereka disifatkan tidak 'tegas' dan 'jelas'.


"Melainkan BNM bertindak pantas mengikut arahan tersebut, keyakinan orang ramai terhadap sistem keselamatan perbankan Internet negara kita akan runtuh.


"Setakat ini, Menteri Kewangan berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan proaktif berhubung perkara itu. 


"Ini adalah kes ke-4 saya menerima aduan dalam tempoh kurang sebulan, dan kali ini mangsa adalah pengurus bank.


"Jika seseorang yang berada dalam sistem itu juga boleh menjadi mangsa penipuan perbankan Internet, siapakah yang boleh terhindar daripada penipuan tersebut?," ujarnya.


Oleh itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan jemaah menteri perlu berganding bahu dan bertindak segera untuk menyelesaikan perkara tersebut dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan Internet negara.

Next Post Previous Post